Tuesday, October 9, 2018

Hidup, Ibadat Sia-Sia Tanpa Rahmat Ilahi


Kehidupan manusia boleh menjadi sia-sia sekiranya tidak mendapat rahmat daripada Allah SWT, malah kasih sayang yang dikurniakan kepada hamba-Nya boleh menjadi tiket untuk masuk ke syurga.

Apatah lagi amal dan ibadat yang dilakukan di dunia ini sebenarnya terlalu sedikit untuk menuju ke syurga Allah SWT, manakala dosa yang ditanggung pula tidak sepadan dan mencukupi dengan amalan yang dilaksanakan.

Justeru, manusia perlu bergantung kepada Allah SWT dan rahmat-Nya seperti Allah SWT berfirman yang bermaksud:“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat,” (Ali-Imran: 132)
Ulama dan pendakwah terkemuka dari Yaman, Habib Umar Muhammad Salim, berkata walaupun rahmat Allah SWT menjadi hak mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, Tuhan mengajar manusia menjemput keredaan-Nya dalam kehidupan.
Katanya, jika Allah SWT memberi keredaan, rahmat-Nya akan datang kepada hamba.“Kita lahir dan hidup dalam keadaan seperti hari ini adalah rahmat serta nikmat Allah SWT yang dapat kita kecapi.
“Pada masa sama, kita mengharapkan rahmat Allah SWT membawa kita ke tempat yang lebih baik di akhirat nanti.

“Namun, ia bergantung kepada apa yang kita lakukan sepanjang hidup.Letak sangkaan baik

Jadi ada sesuatu yang lain harus dilakukan untuk mendapat rahmat Allah SWT,” katanya pada Majlis Forum Perdana bertajuk ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.